‘Memang Aku Sengaja Pakai Pakaian Selekeh & Kereta Buruk Bila Pergi Reunion, Semuanya Sebab…’

‘Reunion’ memang majlis yang bagus. Admin sendiri pernah menyertai majlis ‘reunion’ rakan sekolah menengah dahulu. Tapi, itulah sekali seumur hidup. Selebihnya, kami banyak berjumpa di alam maya ataupun ada kala terserempak di mana-mana. Ikatan masih tetap utuh biarpun lama tidak ketemu. Itulah persahabatan sebenar tanpa syarat.

Namun, berbeza pula dengan kisah ‘reunion’ yang satu ini. Sewaktu perjumpaan, bukannya banyak yang berkisarkan tentang menyingkap memori silam, tetapi lebih kepada perbualan berkisarkan kejayaan diri dan membanggakan diri.

Ikuti luahan Izman Pauzi di facebooknya yang telah mendapat lebih 50,000 kongsian daripada netizen. Ini juga boleh dijadikan panduan hidup dalam mengenal sahabat yang sebenar.

*Artikel dipetik daripada FB Izman Pauzi dengan sedikit olahan tatabahasa.

———————————————————————————————————–

Persahabatan Tanpa Syarat
Cuti sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini agak panjang dan ramai orang mengambil peluang pulang ke kampung halaman berjumpa sanak-saudara. Tidak kurang juga orang yang menganjurkan majlis perjumpaan semula rakan sekolah.

‘Reunion’ ini adalah suatu majlis yang sangat bagus, tetapi biarlah dengan nawaitu dan penerimaan yang sama seperti masa persekolahan dahulu iaitu persahabatan tanpa syarat.

Ya, zaman persahabatan semasa persekolahan adalah zaman yang paling saya suka di mana kita bersahabat tanpa syarat. Kita tidak kisah sahabat itu markah berapa dalam peperiksaan, kita tak kisah ayah ibunya kerja apa, rumahnya besar mana, datang sekolah naik apa. Semua itu tidak penting. Pada masa itu, kita hanya pentingkan persahabatan.

“Jika kau terlupa bawa bekal atau tiada duit belanja, marilah kongsi bekal aku.”

“Periksa semua markah merah dan kena rotan dengan ayah kau ke? Jom kita pergi mandi sungai.”

Itulah dialog kita kepada sahabat setiap kali sahabat kita mempunyai masalah atau kita sendiri mempunyai masalah. Jadi, bila ada permintaan untuk majlis ‘reunion’, ramai yang ingin menyertainya kerana fikir sahabat kita tanpa syarat itu masih begitu. Namun, realitinya tidak begitu.

Saya ada satu kisah yang berlaku di depan mata saya pada akhir tahun lepas.

Begini kisahnya…

Pada suatu petang pada hari cuti, seorang sahabat mengajak saya untuk menemaninya ke kedai ‘spare parts’. Saya dengan rela menemaninya. Kami ke bandar Klang. Usai membeli barangan dikehendaki, dia mengajak saya menemaninya ke majlis ‘reunion’ rakan sekolah rendahnya. sudah tentu saya keberatan kerana saya tidak mengenali sesiapa di situ dan saya juga berpakaian agak selekeh. Dia mendesak dan saya tiada pilihan kerana saya menumpang keretanya. Dia berjanji hanya sekejap sahaja.

Di restoran berhawa dingin itu, beberapa sahabat lamanya sudah mula datang dan berbual-bual di dalam kelompok-kelompok kecil. Di luar terdapat deretan kereta-kereta mewah. Dia masuk berjumpa mereka dan bertegur sapa. Rata-rata mereka sudah tidak berjumpa atau bertegur sapa secara bersemuka sudah puluhan tahun. Saya pula turut bersalam dan diperkenalkan sebagai anak saudaranya. Apabila ditanya mengenai isteri dan anak-anak, sahabat saya menyatakan bahawa isteri dan anaknya terpaksa menghadiri kenduri jiran sebelah rumah.

Saya hanya menjadi pemerhati di majlis itu sambil menghabiskan makanan yang terhidang. Memang ada anak-anak gadis di situ, tetapi saya bukanlah seorang yang mata keranjang. Lagipun mereka juga hanya memandang saya sebelah mata lantaran pakaian saya yang sangat selekeh iaitu berbaju T, ‘cargo pants’ dan bersandal. Gadis-gadis moden ini lebih tertarik dengan gajet dan lelaki yang agresif berbanding saya yang pemalu dan hanya bermain ‘game’ ular di dalam ‘handphone’ 3310 saya.

Saya dapat perhatikan sahabat-sahabat satu sekolah ini terbahagi kepada pelbagai kelompok. ada kelompok guru, ‘businessman’, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri. Sahabat saya disambut hambar oleh sahabatnya yang berstatus, mereka sekadar berjabat salam dan berbual bertanya khabar diri, keluarga, kerja dan kereta yang dipakai. Ya, itulah soalan yang ditanya oleh rata-rata mereka di majlis tersebut.

“Woi, kau pakai kereta apa sekarang?”
Saya yang mendengar turut terasa jengkel. Ini perjumpaan sahabat sekolah atau perjumpaan ‘show off’ kereta. Lagi memualkan ada sahabatnya yang terang-terang bercerita perniagaannya yang besar, berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering melancong ke luar negara. Sahabat saya hanya banyak tersenyum dan menganggukkan kepala. Tidak mahu merintang angin sahabatnya yang mendabik dada sudah menjadi orang ‘ada-ada’.

Dua jam berlalu, sahabat saya mengajak saya pulang. Dia menemui sahabatnya yang lain dan memberitahu terpaksa pulang untuk menyertai isterinya di kenduri jiran rumah mereka. Rata-rata hanya bersalam dan kemudian terus berpaling berbual dengan sahabat yang lain, tidak mengendahkan sahabat saya lagi.

Hanya ada dua orang sahabatnya sahaja yang mengekori hingga ke kereta. Mereka masih berbual-bual kira-kira 20 minit dan bergelak ketawa. Mereka bukan calang-calang orang, salah seorang adalah pengarah agensi kerajaan dan seorang lagi adalah ahli perniagaan. Mereka berkekek ketawa bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu di paya dan dihambat jiran setelah mencuri durian.

Apabila ingin bersurai, saya tengok mereka berpelukan mesra dan saling bermaafan. Air mata mengalir di pipi masing-masing. Di dalam kereta, saya bertanya sahabat saya itu kenapa dia tidak berpakaian cantik dan membawa kereta mewahnya. Dia mempunyai kereta BMW, Merc, Honda, Toyota Hilux dan beberapa kereta lagi, tetapi Wira buruk ini juga dibawanya.

Katanya, “Memang saya sengaja. Saya nak tengok rupa sebenar sahabat-sahabat saya yang dahulu makan sepinggan dan susah senang bersama. Jadi, akhirnya saya tahu saya sebenarnya hanya ada dua orang sahaja sahabat yang masih anggap saya sahabat karib mereka. Sahabat tanpa syarat.”

Saya diam dan termenung sendiri. Saya sedar bahawa rumah cuma tempat berteduh, kereta cuma alat pengangkutan, pakaian cuma alas diri. Kita mampu memiliki dan menggantikan kesemuanya itu pada bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada di tangan kita. Ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak persahabatan. Namun, jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat, persahabatan akan kekal hingga ke hujung nyawa.

Adakah diri anda bersahabat tanpa syarat sehingga kini?

Fb: Izman Pauzi

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*