Tempatan Viral

“Warga Kota Tak Pulang Beraya” – Pengguna Lebuh Raya Berkurangan 50 Peratus

Kuala Lumpur: Menjelang sambutan Aidilfitri, aliran trafik di dua lebuh raya utama dilaporkan lancar, hari ini.

Tidak seperti kebiasaan menjelang sambutan Hari Raya yang menyaksikan warga kota memenuhi lebuh raya untuk pulang ke kampung halaman menyambut Syawal, kali ini tiada pergerakan untuk pulang beraya.

Semuanya disebabkan Covid-19 yang memaksa kerajaan mengambil tindakan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta melarang perjalanan rentas daerah dan negeri dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak yang boleh membawa maut itu.

Jurucakap Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ketika dihubungi Bernama memberitahu, aliran trafik di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan, bergerak lancar setakat petang ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula menyatakan, aliran trafik Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 dan Plaza Tol Bentong dilaporkan lancar, setakat petang ini.

Di ibu negara pula, bilangan pengguna jalan raya berkurangan kira-kira 50 peratus dan tiada peningkatan kenderaan dilaporkan sejak sekatan jalan raya digerakkan, susulan pelaksanaan PKP.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, tiada peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya dilaporkan setakat ini, sebaliknya menyusut berbanding hari biasa sebelum PKP dilaksanakan.

“Dianggarkan 50 peratus pengguna jalan raya berkurangan selepas PKP dan sekatan jalan raya (SJR) dijalankan di seluruh kawasan ibu negara.

“Bagaimanapun peningkatan aliran trafik berlaku di Lebuhraya Persekutuan.

“Kebanyakan pengguna jalan raya yang merentas daerah adalah penyumbang kepada peningkatan jumlah kenderaan di Lebuhraya Persekutuan, disebabkan faktor berulang alik dari rumah ke tempat kerja,” katanya kepada Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *