
Mangsa skim pelaburan Musang King yang terpedaya dengan janji manis seorang warga Palestin terpaksa berputih mata selepas lelaki itu menghilangkan diri sejak April lalu.
Segala keuntungan, manfaat dan perolehan yang dijanjikan menerusi projek terbabit lebur begitu sahaja apabila dia gagal dikesan menyebabkan mangsa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.
Seorang mangsa yang juga warga Sudan, Zeinab Babo Diedan Goda, 43, berkata, pada awal perkenalan dengan lelaki itu, dia dijanjikan pelaburan tanpa risiko dan pulangan lumayan.
“Di dalam pembentangan mengenai projek itu, kami dijanjikan keuntungan setiap empat bulan bagi projek ladang durian Musang King dan pusat beli-belah.
“Pembentangan diadakan secara Zoom kerana pada waktu itu Malaysia masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19.
“Saya sendiri membuat dua kali pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM40,900 tetapi akhirnya dia lesap begitu sahaja,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, semalam.
Hadir sama menemaninya ialah Pengerusi Khidmat Guam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat.
Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan, seorang warga Palestin licik memperdaya 150 ekspatriat dan golongan profesional dari beberapa negara termasuk Malaysia untuk melabur di dalam projek Musang King dengan anggaran kerugian keseluruhan RM20 juta.
Mangsa juga diyakinkan dengan pulangan sehingga tiga kali ganda kerana durian mendapat permintaan tinggi bukan sahaja pasaran tempatan, malah di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Mahmud berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat daripada pengadu dan akan merujuk kes berkenaan ke Bukit Aman dalam waktu terdekat.
Katanya, maklumat yang diperoleh juga akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi membantu siasatan.
“Khidmat Guam tampil bersama pengadu membuat laporan polis dan tindakan susulan selepas ini. Setakat ini kita percaya ramai lagi yang terpedaya, tetapi belum tampil membuat laporan polis.
“Hasil maklumat daripada mangsa, lelaki Palestin itu dipercayai masih berada di Malaysia, justeru kita minta lebih ramai mangsa tampil untuk membuat laporan,” katanya.
Artikel Berkaitan Sebelum Ini
Mengaku mempunyai ladang durian Musang King dan gudang penyimpanan yang banyak di Malaysia, seorang lelaki warga Palestin dikesan aktif menjadikan negara ini sebagai hab penipuan dengan memperdaya lebih 150 mangsa membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM20 juta.
Lelaki terbabit dipercayai berada di Malaysia dan mengambil peluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melakukan penipuan dengan menjanjikan pulangan kepada pelabur yang menyertai perniagaan ‘atas angin’ itu.
Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Khidmat Guam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, peserta pelaburan dari dalam dan luar negara termasuk dari Timur Tengah hanya diberikan sebatang pokok durian Musang King yang diambil gambarnya sebagai bukti wujudnya skim terbabit.
“Mangsa ditawarkan pembelian sebatang pokok pada harga RM3,000 dan dijanjikan akan mendapat pulangan dua hingga tiga kali ganda.
“Lelaki itu juga mendakwa setiap pokok boleh menghasilkan 100 biji durian dan pelabur akan mendapat keuntungan bergantung pada harga semasa.
“Dengan licik, dia mengambil gambar gudang di beberapa lokasi di negara ini kononnya ia adalah gudang penyimpanan durian miliknya sedangkan ia adalah gudang kepunyaan orang lain,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Khairul Anwar berkata, setakat ini, lebih 150 mangsa terjebak dengan pelaburan skim itu dengan kebanyakannya membabitkan ekspatriat dan golongan profesional.
Katanya, ada juga pemastautin yang menjadi mangsa kerana mereka juga didapati lebih mudah dipengaruhi.
Menurutnya, lelaki itu turut menyasarkan musim durian kali ini sebagai waktu yang sesuai untuk memperdayakan mangsa selain mendakwa peserta skim akan mendapat keseluruhan perolehan sebanyak AS$595,050 (kira-kira RM2.6 juta) setiap bulan.
Beliau berkata, lelaki terbabit mendakwa sebagai wakil syarikat antarabangsa yang memiliki ladang durian dan gudang untuk menyimpan hasil tanaman sebelum dieksport ke luar negara.
“Percaya dengan pulangan ‘durian runtuh’ itu, mangsa mula melabur dalam skim berkenaan dengan harapan memperoleh hasil pelaburan yang lumayan.
“Lebih parah apabila mangsa mempromosikan pelaburan ini kepada kenalan tanpa mengetahui ia adalah modus operandi scammer untuk menarik lebih ramai mangsa menyertainya,” kataya.
Khairul Anwar berkata, pihaknya sedang berhubung dengan beberapa lagi mangsa untuk mendapatkan petunjuk baharu mengenai kegiatan lelaki itu.
Menurutnya, beliau juga meminta Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat untuk mengendalikan kes ini bagi memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.
“Kita alu-alukan mangsa lain untuk tampil membuat aduan segera. Buat masa ini sudah ada lebih 150 mangsa tidak termasuk yang belum membuat aduan rasmi kepada kita.
“Saya tidak menolak kemungkinan ramai lagi mangsa di luar sana yang belum tampil. Kita akan bawa isu ini kepada Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian terbabit.
Khidmat Guam tawar khidmat nasihat secara percuma
Kuala Lumpur: Simpati dengan nasib menimpa mangsa penipuan di seluruh negara, sekumpulan peguam mengambil inisiatif menubuhkan Khidmat Guam bagi membantu orang ramai mendapatkan khidmat dan nasihat guaman.
Ia dikendalikan oleh beberapa peguam yang akan memberi tumpuan khususnya kepada kes jenayah komersial, syariah, percukaian, pelbagai jenis tuntutan dan aspek berkaitan.
Pengerusi Khidmat Guam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya tampil dengan inisiatif untuk membantu rakyat Malaysia yang berdepan isu terbabit bagi membolehkan nasib mereka dibela.
Katanya, berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh dua tahun lalu mendapati kewujudan penipu itu adalah terancang, licik dan bersistematik untuk memperdayakan orang ramai khususnya warga emas.
“Kami di Khidmat Guam menawarkan khidmat nasihat secara percuma merangkumi pelbagai elemen.
“Ia sebagai tanggungjawab korporat bagi membantu mereka yang menjadi mangsa dan terpedaya dengan janji manis scammer yang kita tahu sedang bermaharajalela ketika ini.
“Khidmat Guam juga akan bekerjasama dengan badan berautoriti seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh merujuk sebarang masalah dihadapi kepada Khidmat Guam melalui emel di khidmat.guam@yahoo.com dan mereka akan dirujuk kepada peguam untuk tindakan susulan.
Sumber Hmetro
Leave a Reply